satu pembohongan akan membawa kepada pembohongan yg lain...kira mcm series of lies gitu...
copy paste from FB
Hari itu, saya balik selepas didenda berdiri di luar kelas selama sejam selepas waktu sekolah oleh Ustaz Ismail kerana terlupa menyiapkan kerja rumah.
“Mi, sekolah macam mana hari ini? Mengapa lambat?” tanya mak sejurus saya tiba di rumah.
“Bagus. Cuma Ustaz Ismail minta bantu di surau susun buku,” saya menipu kerana tidak mahukan mak terasa sedih, hampa, sakit hati, bimbang dan pelbagai alasan.
Mak tidak berkata apa-apa.
Seminggu berlalu, saya sekali lagi didenda untuk tinggal selepas waktu sekolah dan membersihkan tandas surau. Kali ini atas sebab yang agak memalukan, saya bergaduh dengan kawan saya yang mengejek saya didenda berdiri di luar kelas.
Hari itu, saya pulang ke rumah. Mak bertanya seperti biasa apa keadaan di sekolah dan mengapa saya lambat balik.
Saya menjawab terlewat dan menggunakan alasan yang sama bahawa Ustaz Ismail minta membantu kerja di surau kali ini mencuci tandas surau.
Mak tidak berkata apa-apa.
Kali ketiga, saya cuba ponteng kelas dan apabila memanjat dinding, saya terjatuh dan terseliuh kaki. Ustaz Ismail yang datang membantu, tapi dalam keadaan nak melenting kerana saya tidak pernah nak belajar jadi baik.
Ustaz Ismail memanggil mak saya datang menjemput saya balik ke rumah. Tapi mak saya tidak tahu memandu, dan bapa pula sudah tiada, maka Ustaz Ismail akhirnya membawa saya balik ke rumah.
Saya gementar setibanya di rumah. Apakah rahsia saya akan terbongkar?
Selepas menghantar saya ke bilik, mak saya ke pintu pagar berbincang sesuatu dengan Ustaz Ismail.
30 minit mereka berbual. Saya bertambah gementar kerana saya yakin Ustaz Ismail telah menceritakan segala kejahatan saya pada mak saya.
Selesai perbualan, mak saya datang ke bilik saya. Tangan saya terketar-ketar terasa mak akan menampar saya kerana menipunya.
“Tiga minggu lepas hari Selasa, Mi balik lewat sebab apa? Dan minggu lepas, Mi balik pun sebab apa?” tanya mak saya.
Saya ternganga dengan soalan itu. Apakah saya harus meneruskan kata-kata bohong saya? Apakah mak sudah tahu segalanya sekarang datang ‘test’ saya? Apakah Ustaz Ismail dah memberitahu segalanya?
“Saya tak ingat mak, rasanya kerana Ustaz Ismail,” jawab saya mengambil jalan yang selamat dengan menipu sekali lagi.
Mak melihat saya.
“Tadi Ustaz Ismail memberitahu mak sesuatu,” kata mak. Berdebar-debar hati saya mendengarnya… habislah kali ini.
“Ustaz Ismail suruh mak sampaikan ini pada Mi:
Orang yang menipu selalu sakitkan otak dan minda dia. Sebab dia kena ingat pada kata bohong dia sampai bila-bila; kerana jika dia terlupa segalanya akan terbongkar.
Orang yang berkata benar otak dan mindanya ringan. Sebab dia tak perlu ingat kerana apa yang diceritakannya cerita benar yang tidak berubah mengikut masa,” kata mak.
Mendengar kata-kata itu, saya tersentak dan tersentuh seketika.
“Itu saja Ustaz Ismail bagitahu?” tanya saya.
“Ya. Dia pesan Mi jangan berbohong dengan mak kerana nanti rosak otak. Kata Mi ok, cuma nakal sikit. Dan cara hilang nakal mudah, Mi jangan berbohong pada mak, kata Ustaz Ismail,” tambah mak.
Sejak hari itu, saya berubah baik. Hubungan dengan Ustaz Ismail semakin rapat, daripada seorang guru kepada ayah angkat saya.
Wahai anakku,
Janganlah beratkan mindamu dengan kata-kata bohongmu. Kerana setiap kata tipumu kamu akan terpaksa ingat supaya tembelang kamu tidak pecah. Bercakap benarlah sentiasa, kerana ia mudah dan tidak perlu diingat. Apa yang dicerita ialah kebenaran yang tidak diubah masa.
2 comments:
betul tu. peringatan yg baik.
betul... simple je tapi berkesan......
Post a Comment