ternampak citer ni kat FB...terasa nak share kat blog la plak...
Pada satu masa, terdapat seorang tukang kayu yang semakin dimamah usia.
Dia bercadang untuk bersara daripada kerjanya sebagai tukang kayu yang
bertanggungjawab membuat rumah di sebuah syarikat pembinaan. Dalam
fikirannya lagi, dengan tenaga yang semakin kurang, dia ingin
menghabiskan sisa-sisa hidupnya bersama keluarga tersayang.
Tukang kayu ini tidak akan menerima lagi upah sekiranya beliau bersara.
Tetapi, dia tetap dengan keputusannya. Lalu, tukang kayu itu memberitahu
majikannya tentang hasratnya tersebut.
Apabila majikannya mendengar luahan hati tukang kayu yang berpengalaman
itu, dia merasa sedih dan juga memujuk tukang kayu tersebut agar menarik
balik keputusannya. Akan tetapi, tukang kayu itu tidak berganjak dan
tetap dengan niat untuk bersara. Justeru itu, majikannya bersetuju
dengan keputusan tukang kayu itu, tetapi dengan satu syarat. Permintaan
terakhir majikannya ialah menyuruh tukang kayu itu membina sebuah rumah
buat kali terakhir.
Tukang kayu itu merasa gembira dan bersetuju dengan syarat yang telah
ditetapkan oleh majikannya. Tetapi, kegembiraannya untuk bersara
mengatasi semangat dan kemahiran yang ditunjukkan semasa bekerja.
Akibatnya, rumah yang dibina buat kali terakhir itu telah disiapkan
dengan sambil lewa, tanpa penelitian khusus serta menggunakan kayu yang
rendah kualitinya. Rumah itu berjaya disiapkan dalam jangkamasa yang
singkat.
Apabila majikannya melihat rumah itu, dia mengambil kunci pintu utama
rumah tersebut dan memberikannya kepada tukang kayu itu seraya berkata
"Inilah hadiah persaraan daripada saya kepada kamu. Selamat bersara."
Tukang kayu itu terkejut besar dengan kata-kata majikannya. Beliau tidak
menyangka bahawa rumah yang dibinanya buat kali terakhir itu adalah
rumah untuk kegunaannya sendiri. Alangkah menyesalnya dia kerana
menyiapkan rumah itu secara tergesa-gesa dan jika dia tahu sebelum itu,
dia akan membina rumah tersebut dengan penuh teliti dan menggunakan
bahan yang bermutu tinggi.
Pengajaran
Senario ini mungkin pernah berlaku di dalam hidup kita seharian. Hidup
ini boleh diibaratkan sebagai membina sebuah rumah untuk kegunaan dan
kemudahan kita di masa hadapan. Kita pula sering mengambil mudah dengan
kehidupan sekarang, kita merasa selesa kerana ibu bapa kita sentiasa
berada di samping kita, memberi sokongan dan membantu kita. Tetapi,
sedarkah kita apabila mereka tiada nanti, siapakah yang bertanggungjawab
ke atas hidup kita? Tak lain tak bukan DIRI KITA SENDIRI. Belajarlah
bertanggungjawab dan bijak merancang masa depan kita. Gunakan masa muda
ini dengan belajar bersungguh-sungguh dengan cita-cita untuk menjadi
seorang manusia berguna kepada agama, keluarga, bangsa dan negara.
Kata-kata hikmat:
"Berusahalah dengan ikhlas tanpa memikirkan balasan semata-mata, kerana
semakin tinggi keikhlasan di dalam diri, semakin tinggilah balasan baik
yang akan diperolehi dalam keadaan sedar atau tidak."
3 comments:
betul sesangat ><
dah pernah dengar dah....rasa kat fb jugak kot :-)
good sharing la..tq MZ!
Post a Comment