Wednesday, 5 September 2012

Suatu masa dulu MZ pernah jd mangsa ragut | Pengalaman pahit mangsa ragut

..CREDIT

MOHD. JUAN AFFENDI, 32, tidak pernah menyangka akan menjadi mangsa ragut pecah kereta. Apatah lagi, ketika kejadian keretanya di parkir di anjung rumah di Bandar Baru Sungai Buloh, Selangor. Mohd. Juan pula pada masa itu berada di dalam rumah.

Kereta miliknya, model Kelisa dipercayai sudah menjadi sasaran kumpulan peragut pecah kereta yang aktif bergerak di kawasan itu. Keretanya dipecah ketika dia tidur di ruang tamu berseorangan.
“Bahkan mereka mengunci pagar rumah menggunakan kabel supaya suami saya tidak dapat keluar jika tersedar daripada tidur. Memandangkan dia memang penggemar kereta, semua barangan aksesori yang mahal dan berjenama kena kebas,” kata isteri mangsa, Emy Shafinaz, 31, yang berada di rumah ibunya ketika kejadian.

Antara aksesori yang dirompak ialah pemain skrin sentuh, e-manage, RSM, boost meter dan lain-lain. Dompet milik Mohd. Juan yang ditinggalkan dalam kereta turut diambil.
Mohd. Juan memberitahu, dia kerugian kira-kira RM10,000 dalam kejadian tersebut. “Kami sudah buat laporan polis tetapi tiada sebarang tangkapan. Sebelum ini, saya diberitahu, dua kereta rakan lain turut dipecah,” katanya yang kesal dengan kejadian yang semakin bermaharajalela itu.
Lebih teruk, selepas kejadian, jirannya turut memberitahu Emy mereka melihat kelibat beberapa orang di anjung rumah mangsa, tetapi tidak berbuat apa-apa.

Dalam pada itu, seorang pegawai bank, Ashraf Othman, 28, memberitahu, keseronokan menikmati makan lewat malam bersama teman-teman di sebuah medan selera popular di Ampang, Kuala Lumpur baru-baru ini berubah menjadi insiden yang tidak akan dilupakannya.

PERAGUT hanya mahu memastikan mereka bergerak cepat sebelum ditangkap.


Buat kesilapan
“Setelah bersurai, saya kembali ke tempat letak kereta yang terletak hanya 50 meter dari tempat makan. Alangkah terkejutnya saya apabila mendapati banyak serpihan kaca bertaburan di tempat duduk belakang. Rupa-rupanya cermin kereta saya kena pecah,” ujarnya.

Ashraf mengakui walaupun sudah berhati-hati tidak meninggalkan beg di tempat duduk, dia tetap membuat kesilapan. Dia menyimpan beg di boot keretanya.
“Saya pasti ketika itu penjenayah sudah melihat tindakan saya lalu manyangka saya menyimpan komputer riba di boot kereta. Dia mungkin lebih berani untuk melaksanakan niatnya kerana melihat saya mengunci kereta secara manual selepas itu,” ujar Ashraf yang kesal dengan kejadian itu namun bersyukur kerana tidak ada barang berharga di dalam beg tersebut.

Tambahnya, apabila seseorang membuat laporan polis tindakan yang dibuat selepas itu mungkin hanya meningkatkan kekerapan rondaan keselamatan di kawasan berkenaan.

“Kita tidak boleh mengharapkan bantuan polis sahaja. Kita perlu mengelakkan diri daripada menjadi mangsa. Beg, dompet, bungkusan malah hatta sampul surat sekali pun saya tidak akan tinggalkan di dalam kereta dan mudah dilihat.


SARIFAH@Wan Sarimah Ismail yang cedera di muka dan patah tangan kiri dirawat di hospital selepas diragut oleh seorang lelaki di Kampung Baru Pasir Pekan, Tumpat.


“Mereka yang terdesak boleh melakukan apa sahaja untuk mendapatkannya, walaupun mendapati tiada barangan berharga yang boleh dilarikan,” kata Ashraf.

Kosmo! juga turut menemuramah seorang wanita yang diragut baru-baru ini. Walaupun keretanya tidak dipecah, tetapi kejadian yang berlaku di lokasi yang agak sibuk. Ketika kejadian A.Shanty, 37, meletak kereta di hadapan deretan kedai. Selepas membeli makanan tengah hari di Seksyen 5, Petaling Jaya, rantai Shanti yang juga merupakan rantai suci perkahwinan bernilai kira-kira RM8,000 diragut sekumpulan peragut yang terdiri daripada tiga hingga enam orang.

“Saya pasti tiada sesiapa di situ. Selepas saya membeli makanan saya menyedari ada sekumpulan lelaki sedang berbual dan duduk di atas motosikal. Mereka pandang saya sepintas lalu dan terus berbual. Sebaik saya mendekati kereta, mereka terus meragut rantai saya dan ia berlaku sangat cepat,” katanya yang mengakui orang ramai di situ hanya sedar sebaik dia menjerit sekuat-kuat hati.

SEORANG mangsa ragut, Rohairani Abdullah dibantu orang ramai selepas tangan kirinya ditetak oleh peragut di hadapan sebuah kedai pakaian di Kota Bharu, Kelantan baru-baru ini.


Dapatkan duit
Mengakui trend ragut masa kini tertumpu kepada pecah kereta sama ada yang berhenti sewaktu trafik atau parkir mahupun di hadapan rumah, Kosmo! berpeluang mendekati seorang lelaki yang pernah melakukan aktiviti ragut.

Walaupun tidak terlibat lagi dalam jenayah itu, lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Micheal, 26, memberitahu, dia masih berkawan dengan rakan-rakan peragut yang lain. “Apabila keluarga saya mendapat tahu, saya pun berhenti. Ibu telah memberi amaran keras,” katanya.
Michael dari Shah Alam berkata, pertama kali dia mula meragut selepas tamat belajar, perbuatan yang dilakukan sekadar suka-suka untuk menambah nilai telefon. Lama-kelamaan meragut menjadi satu ‘kerjaya’ baginya untuk mendapatkan duit. Sekali ragut, beg, barang kemas, jam tangan, telefon bimbit, aksesori kereta, Micheal akan mendapat habuan sekurang-kurangnya RM2,000.

Peragut tidak kisah siapa mangsa mereka, tetapi mereka lebih cenderung meragut wanita kerana ia lebih mudah. “Saya tidak pernah meragut lelaki kerana saya sendiri berbadan kecil. Tetapi wanita, saya tidak kisah, walaupun mereka besar. Adakalanya mereka serang kembali dan berjaya mengagalkan cubaan meragut, itu perkara biasa,” katanya. Dia juga memberitahu ada peragut yang mengambil ganja atau pil khayal supaya tidak terlalu beremosi ketika meragut.

JENAYAH pecah kereta dan ragut atau rompak semakin menjadi-jadi di kawasan di mana kereta terpaksa di parkir jauh daripada rumah atau pandangan pemilik.


Micheal juga berkongsi rahsia peragut. Lazimnya, mereka menggunakan motosikal dan telefon bimbit curi. Nombor plat palsu dan tidak membawa apa-apa identiti diri. “Ini nasihat seorang ‘abang’ kapada saya. Katanya kalau ada tercicir atau terjatuh, kena tangkap orang ramai, mudah menyelamatkan diri. Tidak perlu fikir mengenai motosikal, telefon atau lain-lain,” katanya.

Michael memberitahu, ‘abang’nya yang juga seorang peragut berusia dua tahun lebih tua daripadanya menasihati dia supaya bergerak cepat, tidak memberi masa yang lama kepada mangsa. “Tak kisahlah, kami dapat atau tidak, yang penting kena cepat, sebelum mangsa mampu fikir melepaskan diri.”

Ditanya tentang kelakuan tidak senonoh atau serangan seksual kepada mangsa ragut, Micheal bersumpah dia tidak pernah melakukan perbuatan tersebut. Namun, ketika bergerak dalam kumpulan, ada rakan-rakan peragut yang lain mengambil kesempatan.
Walaupun kini sudah insaf Micheal berkata, dia tetap berkawan dengan rakan peragut yang lain. “Saya berkawan untuk memastikan mereka tidak mengacau ahli keluarga atau sesiapa yang saya kenali.”

note : kalau boleh tak nak ingat kenangan pahit MZ jd mangsa ragut..nasib baik umur masih panjang.. syukur Alhamdulillah
 

5 comments: